بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِِ
MAJLIS IJTIMA' WAL MUZAKARAH DIADAKAN PADA HARI AHAD SETIAP AWAL BULAN SEPANJANG TAHUN.

TARIKH IJTIMA' WAL MUZAKARAH FEBRUARI 2010 : 4 OGOS 2011

YURAN : RM 5.00 (MINUM PUKUL 11.00 PAGI DAN MAKAN TENGAHARI 1.30 PTG)

TENAGA PENGAJAR MAJLIS IJTIMA' WAL MUZAKARAH.

1. Ybhg Ustaz Ibrahim Al-Fatani, Guru Agama Maahad Tarbiah Al-Islamiah (SABK), Batu 8, Jalan Trong.

Nama Kitab : Manhaj Al-Abidin (Tasauf)

Pengarang : Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fatani

Masa : 9.00 - 10.00 pagi

2. Ybhg Sahibus Samahah Dato' Hj Hassan Bin Hj Ahmad, Mufti Pulau Pinang

Nama Kitab : Matan Jauhar at-Tauhid (Tauhid)

Pengarang : Tidak Diketahui.

Masa : 10.00 - 11.00 pagi

3. Ybhg Dato' Hj Salleh Bin Hj Ahmad, Pensyarah UIAM, Timbalan YDP Persatuan Ulama Malaysia.

Nama Kitab : Bughyatul Tulab (Feqah)

Pengarang : Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fatani

Masa : 11.30 - 12.30 tgh

4. Ybhg Ustaz Mutalib Bin Maarof, Mudir Madrasah An-Nahdhoh, Bukit Mertajam.

Nama Kitab : Tafsir Nurul Ehsan

Masa : 12.30 - 1.30 ptg

Sunday, July 22, 2012

RAMADHAN AL MUBARAK

SELAMAT BERPUASA KEPADA SEMUA MUSLIMIN DAN MUSLIMAT DI MANA JUA BERADA...MALAM NI ADA MORE KAT SURAU SG PETAI..DATANGLAH RAMAI2..

Sunday, January 24, 2010

Kenyataan Media oleh Tiga Panel Muzakarah Pakar IKIM berhubung isu nama Allah

Muzakarah Pakar : “Terjemahan God Sebagai Allah: Mengenalpasti Punca Permasalahan dan Penyelesaiannya”

Kami telah dijemput sebagai mewakili parti masing-masing dan individu dalam Muzakarah Pakar anjuran Institut Kefahaman Islam (IKIM) pada 21 Januari 2010. Laporan beberapa akhbar harian pada 22 Januari 2010 telah menyatakan sebagai berikut :
“Muzakarah Pakar anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) hari ini mengambil kata sepakat penggunaan kalimah Allah sebagai terjemahan atau ganti nama kepada ‘God’ tidak tepat.
Pengerusi IKIM, Tun Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam juga menyalahi hakikat sebenar kerana ia bercanggah dengan konsep Tuhan yang dianjur oleh agama Islam atas dasar setempat di Malaysia”.
Apa yang tidak dinyatakan di dalam laporan berkenaan ialah pendirian konsisten kami bahawa :

  1. Penggunaan kalimah nama ”Allah” untuk tujuan amalan agama sesama penganut agama Kristian dan Yahudi adalah dibenarkan oleh Islam, dengan bersumberkan dalil Al Quran dan As Sunnah serta pandangan ulama muktabar.



  2. Demi menjaga keharmonian dan kesejahteraan negara, polemik ini hendaklah diselesaikan dengan menyuburkan budaya dialog antara agama secara matang dan bijaksana.



  3. Berasaskan semangat musyawarah dan saling memahami dalam konteks masyarakat Malaysia, maka suasana dan keadaan setempat perlu diambil kira dalam menentukan penggunaan kalimah “Allah” itu. Penggunaan kalimah “Allah” secara tidak bertanggungjawab mestilah dielakkan supaya ianya tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara ini. Oleh itu, satu garispanduan penggunaannya perlulah diwujudkan.



  4. Kami juga ingin menyatakan bahawa sebagaimana yang telah dipersetujui oleh pihak penganjur dan para panel muzakarah, dan berdasarkan kepada tradisi keilmuan dan semangat perbezaan pandangan, maka tiada sebarang ketetapan rasmi telah dikeluarkan diakhir sesi muzakarah berkenaan.

Kenyataan Media oleh Tiga Panel Muzakarah Pakar :
Dato’ Seri Abdul Hadi Awang
Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS)
Dr Mohd Nur Manuty
Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Parti Keadilan Rakyat (PKR)
Dr Mohd Asri Zainal Abidin
Mantan Mufti Perlis

Tuesday, January 5, 2010

Friday, January 1, 2010

CATATAN DARI "PENARIK BECA"

Bila Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz mempopularkan istilah ulama mee celup, saya teringat kata-kata salah seorang tuan guru yang pernah menjadi Ahli Majlis Fatwa Perak, Almarhum Tuan Guru Haji Mat Saman Kati.

Sejak dari zaman sekolah menengah hinggalah saya meninggalkan Matang kampung saya untuk cari makan di Kuala Lumpur pada tahun 1978, saya sentiasa berusaha untuk tidak ketinggalan mendengar (mendengar bukan belajar) orang belajar agama dari Tuan Guru tersebut di masjid yang saya mampu pergi di dalam kawasan Bukit Gantang hinggalah ke Taiping dan surau Tuan Guru Haji Mat Saman di Batu 4, Kamunting - tidak jauh dari kem puaka tempat menahan orang tanpa bicara.

Antara tempat Tuan Guru Haji Mat Saman mengajar ialah semasa ijtima' ulama bulanan di surau Tuan Guru Haji Ahmad di Sungai Petai. Tuan Guru Haji Ahmad juga adalah Ahli Majlis Fatwa Perak. Seingat saya, keilmuannya lebih disegani dari Tuan Guru Haji Mat Saman. Tuan Guru Haji Ahmad ialah ayah kepada Ustaz Idris Ahmad, kini Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Di Sungai Petai, saya berpeluang mendengar orang belajar agama (saya ulangi lagi, saya tak belajar, hanya mendengar orang belajar sahaja) dari beberapa guru lain termasuk Tuan Guru Haji Ahmad sendiri, Ustaz Abdul Wahab Changkat Ibol dan Prof Madya Datuk Saleh Ahmad (abang Ustaz Idris).

Pada waktu itu, saya sangat mengkagumi Ustaz Saleh kerana kepetahannya mengajar. Saya diberitahu, Ustaz Saleh sangat luas ilmunya. "Mutammimah dalam kepala dia," kata seorang ustaz kepada saya. Apa menatang Mutammimah manalah aku tau!

Rupa-rupanya kitab nahu Arab. Sejak itu, saya percaya sangat Ustaz Saleh mempunyai Ilmu Alat yang hebat untuk mengajar agama.

Kutu macam saya jangankan kitab tu, Matan Jurumiah pun tak habis. Pernah saya cuba-cuba belajar dengan Alahyarham Pak Ngah saya - ustaz kampung macam adiknya, Allahyarham pak saya. Mula-mula saya tak berani tuang (ponteng), takut kat Pak Ngah saya. Takut dia marah. Lama-lama tak larat, aku belah jugak!

Mana nak larat, takat bab pertama pun terkincit-kincit nak hafal "al-kalamu hual-lafdhul murakkabbu bil mufidu.."

Lama-lama, dok fikir-fikir kalau dok kilik celah ketiak kitab Matan Jurumiah tu sampai kitab berbau ketiak, ketiak berbau kitab, baik aku cabut. Bukan saja lari dari mengaji, kalau ternampak Pak Ngah saya pun, saya mesti lari takut dia nampak saya. Jahat daripada belasan tahun lagi aku ni!

Bila berlaku Peristiwa Memali dan saya mendengar Tuan Guru Haji Mat Saman banyak mengecam PAS ketika itu, saya tak berminat lagi dengannya sehinggalah Mat Sabu memberitahu saya "aku dah banyak kali dah ceramah di surau tok guru hang". Terkejut saya. "Bila dia patah balik kat PAS?" saya tanya Mat Sabu. Saya tak ingat apa kami bersembang lepas tu.

Paling akhir sebelum dia kembali ke pangkuan Kekasihanya Yang Mana Berbelas Kasihan, saya dengar Tuan Guru Haji Mat Saman nak buat kenduri sembelih lembu di suraunya sempena ceramah Mat Sabu di situ.

Laa.. ke mana pulak saya melalut ni!

Yang saya nak cerita ialah rungutan Tuan Guru Haji Mat Saman terhadap pelajar-pelajar agama yang menurut beliau belajar pakai "silibus" (syllabus), belajar tebuk-tebuk. "Bila kita tanya hukum, depa mengagau-gagau nak jawab," lebih kurang begitulah rungutannya.

Tengah hari semalam, saya berpeluang makan tengah hari dengan dua orang anak ulama yang mengaji tadah kitab di Masjidil-Haram.

Saya pun bangkitkan apa yang saya dengar dari Tuan Guru Haji Mat Saman. "Betui, ayah ana pun ada kata gitu. Dia pernah kata, (ulama tebuk-tebuk atau ulama silibus) takat bersyarah boleh la. Suruh bagi tau hukum, terketaq-ketaq," kata ustaz itu yang ayahnya Ahli Majlis Fatwa negeri.

Kenyataan beliau disokong oleh seorang lagi anak tuan guru yang juga makan bersama saya semalam. Dia seorang tokoh korporat. Mereka lalu menceritakan panjang lebar perkara-perkara yang saya tak pernah dengar.

Bila balik, saya terbaca pula berita Malaysiakini semalam (29/4/09) bertajuk "PAS: 'Mi celup' lawan 'Mi goreng'". Saya lalu membuat keputusan dalam hati, di Malaysia ni tak ramai ulama mi goreng yang menurut Haji Khalid Samad "lama dalam kuali".

Yang banyak ialah ulama tebuk-tebuk, ulama silibus.

Monday, December 21, 2009

Syeikh Jalaluddin al-Kalatani - Perintis pengajian pondok Seberang Perai

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH


MAKLUMAT sebelum ini diriwayatkan bahawa dua orang ulama telah membuka pondok pengajian di Sungai Dua, Seberang Perai. Kedua dua ulama itu ialah Syeikh Abdus Shamad bin Abdul Malik Kelombong berasal dari Jeringa, Patani dan Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani, atau digelar dengan Tuan Minal. Penyelidikan terkini didapati bahawa sebelum kedatangan kedua-dua ulama itu yang membuka pondok pengajian di Sungai Dua, Seberang Perai itu ialah seorang ulama berasal dari Kelantan. Beliau ialah Syeikh Jalaluddin bin Muhammad Yusya' bin Abdul Ghafur al-Jawi al-Kalantani.

Selanjutnya sama ada pertalian nasab ke atas mahu pun keturunan ke bawah Syeikh Jalaluddin al-Kalantani menyentuh kekeluargaan besar para ulama terkenal. Di antara ulama yang ada hubungan kekeluargaan itu ialah Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman bin Abdul Ghafur al-Kalantani, Syeikh Abdus Shamad Kelombong, Tuan Minal al-Fathani, Syeikh Ahmad al-Fathani, Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani, Haji Abdullah Fahim, Syeikh Usman Jalaluddin Penanti, Tuan Guru Haji Zakaria, Kampung Rambai, Tokai, Kedah dan ramai lagi. Artikel ini menyentuh perhubungan kekeluargaan para ulama tersebut, yang merupakan satu penyelidikan dan pengenalan ringkas peringkat awal.

Riwayat Penyelidikan

Sejak tahun 1962 penulis mendapat informasi bahawa Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani, Pengarang kitab al-Jauhar al-Mauhub dan Lum'atul Aurad mempunyai hubungan kekeluargaan dengan kebanyakan ulama di Pulau Pinang. Tahun 1970 penulis cuba melakukan penyelidikan di Pondok Syeikh Usman Jalaluddin Penanti, menemui anak beliau bernama Haji Saleh. Tahun 1989 di pondok yang sama, penulis dua kali menemui menantu ulama tersebut, beliau ialah Tuan Guru Haji Abdul Wahhab. Beliau adalah murid kepada Tuan Guru Haji Wan Ibrahim bin Abdul Qadir al-Fathani (Pak Cu Him), Gajah Mati, Kedah. Penyelidikan di pondok tersebut tidak banyak memperoleh maklumat.

Maklumat terbanyak diperoleh ialah pukul 10.00 malam Sabtu, 5 Rejab 1425 Hijrah/21 Ogos 2004 Masihi hingga pukul 11.35 malam Ahad, tarikh 6 Rejab 1425 Hijrah/22 Ogos 2004 Masihi. Selain wawancara terhadap beberapa orang, yang berupa bahan bertulis ialah;

1. Salinan surat jual beli rumah di Mekah milik Syeikh Jalaluddin bin Muhammad Yusya' bin Abdul Gha-fur al-Jawi al-Kalantani, bertarikh 23 Safar 1281 Hijrah.

2. Salasilah Zuriat Allahyarham Hj. Muhammad Yusya' dan Allahyarham Hj. Tahir susunan Yahaya bin Haji Awang

3. Salasilah Awang Kecik Setol susunan Haji Ismail, penulis peroleh melalui Cikgu Mustafa bin Hj. Hasein bin Hj. Tahir, Balik Pulau, Pulau Pinang.

Nama lengkap ulama yang diriwayatkan ini ialah Syeikh Jalaluddin bin Muhammad Yusya' bin Abdul Ghafur al-Jawi al-Kalantani. Syeikh Jalaluddin al-Kalantani kemungkinan adalah saudara sepupu Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman bin Abdul Ghafur al-Kalantani. Mengenai ini berdasarkan nama datuk kedua-keduanya adalah Abdul Ghafur al-Kalantani yang termaktub dalam surat jual beli rumah di Mekah seperti tersebut di atas. Selanjutnya berdasarkan cerita yang mutawatir dapat dipastikan bahawa antara Syeikh Jalaluddin al-Jawi al-Kalantani dan Syeikh Wan Ali al-Kalantani memang ada pertalian keluarga yang sangat dekat. Oleh itu, boleh dipastikan kedua-duanya adalah saudara sepupu.

Daripada surat jual beli rumah di Mekah di atas dapat diketahui beberapa orang ulama yang sezaman dengan Syeikh Jalaluddin al-Kalantani. Sebagai wakil Syeikh Jalaluddin al-Kalantani dalam urusan jual beli rumah di Mekah itu, seorang ulama besar yang sangat terkenal, iaitu Sayid Umar asy-Syami al-Baqa'ie bin Sayid Muhammad Barakat al-Baqa'ie. Belum jelas hubungan antara Syeikh Jalaluddin al-Kalantani dengan Sayid Umar asy-Syami al-Baqa'ie itu, apakah kedua-duanya bersahabat atau Syeikh Jalaluddin al-Kalantani sebagai murid ulama yang sangat masyhur itu. Yang sudah pasti Sayid Umar asy-Syami al-Baqa'ie yang hidup antara dalam lingkungan tarikh lahir 1245 Hijrah/1829 Masihi dan wafat di Mekah, 18 Syawal 1313 Hijrah/2 April 1896 Masihi adalah guru kepada ramai ulama, di antaranya ialah Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.

Surat jual beli di atas ditandatangani oleh ramai orang, hanya seorang ulama dunia Melayu yang turut menandatanganinya sebagai saksi, iaitu Syeikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani (Pengarang kitab Mathla' al-Badrain, yang terkenal), ketika menandatangani surat itu disebut sebagai al-Hakim Syari'ie. Syeikh Jalaluddin al-Kalantani umurnya diperkirakan lebih tua sedikit daripada Syeikh Wan Ali al-Kalantani dan Syeikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani.

Syeikh Jalaluddin al-Kalantani pada mulanya tinggal di Mekah, memperoleh kewarganegaraan Turki Usmaniyah pada 10 Jamadilawal 1299 Hijrah. Selanjutnya pulang ke tanah Jawi menyebarkan agama Islam di beberapa kampung di Pendang, di antaranya Kampung Tobiak, Guar Kepayang dan lain-lain. Setelah itu Syeikh Jalaluddin al-Kalantani pergi ke Sungai Dua, Seberang Perai. Sewaktu beliau berangkat ke Mekah untuk melanjutkan pelajaran tiga orang anaknya, pada waktu itulah beliau menyerahkan pusat pendidikan pondok itu kepada Haji Abdus Shamad bin Abdul Malik Kelombong al-Fathani. Haji Abdus Shamad mengajak sahabatnya, Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad (Tuan Minal) al-Fathani membina pengajian itu, selanjutnya berkembang dengan sangat pesat. Tuan Minal al-Fathani termasuk ulama besar yang sangat terkenal di dunia Melayu kerana beberapa buah karangannya, di antaranya ialah Kasyful Litsam, `Aqidatun Najin dan lain-lain.

Tiga orang anak Syeikh Jalaluddin al-Kalantani setelah ketiga-tiganya menjadi ulama, membuka perkampungan baru dan institusi pengajian pondok yang baru pula. Mereka ialah Haji Zakaria tatap di Pondok Pematang Sungai Dua, Haji Muhammad Saleh membuka Pondok Kampung Setol dan Haji Abdullah membuka Pondok Pematang Buluh. Jarak ketiga-tiga pondok pengajian berdekatan, semuanya dalam kawasan Serang Perai.

Kekeluargaan

Abdul Ghafur al-Kalantani mempunyai beberapa orang anak, di antaranya ialah Muhammad Yusya' dan Abdur Rahman. Syeikh Muhammad Yusya' memperoleh tiga orang anak, ialah Haji Mustafa, Hajah Sarahi dan Syeikh Jalaluddin al-Kalantani.

Haji Mustafa bin Muhammad Yusya' al-Kalantani menurut riwayat beliau adalah salah seorang yang membuka perkampungan Sabak Bernam. Beliau memperoleh tiga orang anak iaitu; Haji Abdur Rahman, Hajah Fatimah dan Hajah Zubaidah. Hajah Sarahi binti Muhammad Yusya' al-Kalantani kahwin dengan Haji Muhammad Arsyad memperoleh tiga orang anak. Salah seorang di antaranya bernama Hajah Khatijah (Tok Itam) berkahwin dengan Haji Abdus Shamad bin Abdul Malik. Beliau memperoleh anak di antaranya Syeikh Abdullah Shamad al-Filfulani (ulama di Mekah) dan Haji Syahabuddin (Tok Ayah).Salah seorang anak Haji Syahabuddin yang perempuan bernama Hajah Habibah yang berkahwin dengan Tuan Guru Haji Ahmad, Sungai Petai, Perak. Memperoleh anak Datuk Haji Hasan Haji Ahmad (Mufti Pulau Pinang sekarang), Prof. Madya Saleh Haji Ahmad (Pensyarah di Universiti Malaya), dan lain-lain.

Syeikh Jalaluddin bin Muhammad Yusya' al-Kalantani kahwin dengan Hajah Sara binti Haji Muhammad Tahir al-Fathani. Hajah Sara adalah adik-beradik dengan Haji Ibrahim (Pak Him). Haji Ibrahim (Pak Him) ini ialah ayah kepada Mufti Haji Abdullah Fahim (Mufti Pulau Pinang, iaitu datuk kepada Datuk Seri Abdullah Badawi Perdana Menteri Malaysia) dan Haji Tahir (Kadi Pulau Pinang, di Balik Pulau).

Perkahwinan Syeikh Jalaluddin al-Kalantani dengan Hajah Sara binti Haji Muhammad Tahir al-Fathani memperoleh tiga orang anak, ketiga-tiganya adalah ulama. Mereka ialah Haji Zakaria, Haji Muhammad Saleh, Haji Abdullah. Haji Zakaria bin Jalaluddin al-Kalantani kahwin dengan Rabi'ah binti Lebai Din, memperoleh tujuh orang anak, di antaranya Arsyad, Arsyad memperoleh anak bernama Haji Ja'afar, tok guru di Pondok Padang Lalang. Anaknya yang kedua ialah Hajah Asma kahwin dengan Haji Awang, anaknya bernama Haji Yahaya (dari beliau saya peroleh silsilah keluarga ini, pada malam Sabtu, 5 Rejab 1425 Hijrah/21 Ogos 2004 Masihi, sebagai pelengkap maklumat yang telah saya miliki sejak tahun 1962 dari Hajah Wan Zainab binti Syeikh Ahmad al-Fathani, dll).

Haji Muhammad Saleh bin Syeikh Jalaluddin al-Kalantani, memperoleh tujuh orang anak, enam orang di antaranya tinggal di Mekah. Anaknya bernama Hajah Sara kahwin dengan Syeikh Usman Jalaluddin Penanti, seorang ulama besar yang terkenal serta pengasas pusat Pondok Pengajian Manabi'ul `Ulum, Penanti, Bukit Mertajam.

Haji Abdullah bin Syeikh Jalaluddin al-Kalantani berkahwin dengan Wan Maimunah binti Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani (ulama ini adalah Kader Syeikh Ahmad al-Fathani, khusus dalam bidang pentashhihan kitab). Beliau juga memperoleh tujuh orang anak, salah seorang di antaranya bernama Hajah Sa'diyah. Hajah Sa'diyah berkahwin pertama kali dengan Haji Abdul Hamid, anaknya bernama Nik Abdur Rasyid. Perkahwinan kedua dengan salah seorang keluarga ulama yang berasal dari Pontianak, Kalimantan Barat, iaitu Haji Ali bin Muhammad Nur. Perkahwinan tersebut memperoleh empat orang anak, salah seorang di antaranya ialah Aisyah. Beliau inilah yang memandikan dan mengkapankan Hajah Kailan binti Haji Hasan, ibu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Perdana Menteri Malaysia), ketika meninggal dunia.

Penutup

Untuk mengakhiri artikel ini, di bawah ini penulis petik tulisan Haji Yahaya bin Haji Awang, pada bahagian bawah silsilah keluarga ini, katanya, ``Saya berharap semua zuriat Allahyarham Haji Muhammad Yusya' dan Allahyarham Haji Tahir merendangkan susur galur zuriat masing-masing dengan berpandukan asas salasilah yang tercatat dalam buku ini. Saya yakin Allahyarham Haji Muhammad Yusya' dan Allahyarham Haji Tahir mempunyai hubungan darah keluarga selain daripada menjadi besan. Adalah menjadi amalan generasi zaman dahulu mengambil sanak saudara untuk menjadi menantu mereka.''

Sebagai tambahan, penulis berpendapat bahawa setiap keluarga yang besar adalah terdiri daripada golongan ulama, yang berpangkat, yang kaya, yang miskin dan sebagainya. Tugas ulama adalah yang paling berat kerana mereka wajib memberi pengenalan Islam, agamanya kepada semua golongan keluarga besarnya. Golongan berpangkat dan kaya perlulah menyelamatkan keluarga besarnya daripada kemiskinan dan kehinaan supaya sampai pada tahap mudah melakukan ibadah yang diredhai Allah s.w.t.

Sunday, December 20, 2009

DATO' PADUKA MUHAMMAD SAMAN BIN MUHAMMAD [USTAZ MAT SAMAN KATI - ULAMA BESAR PERAK]

Allahyarham Tuan Guru Muhammad Saman Bin Muhammad (1922-1995) atau juga dikenali sebagai Ustaz Mat Saman Kati merupakan seorang ulama tasawuf yang terkenal.Ustaz Mat Saman Kati pernah mengarang buku berjudul Ilmu Tasawuf (Penerbitan Pustaka Nusa Sdn. Bhd: 1997). Ustaz Mat Saman Kati seorang pendakwah dan guru agama yang terkenal. Semasa hayatnya, Allahyarham banyak berdakwah di seluruh negara, Brunei Darul Salam dan Indonesia. Platform dakwahnya tidak hanya tertumpu di masjid, surau tetapi melebar di media elektronik seperti radio dan televisyen khususnya RTM.

Topik dakwahnya banyak berkisar ibadat tasawuf yang menurut beliau telah diamalkan oleh para rasul semenjak Nabi Adam a.s lagi sehinggalah Nabi Muhammad s.a.w. Ibadat tasawuf dilakukan secara khalwat (bersunyi atau menyendiri). Ia juga dikenali sebagai Suluk atau Tarekat – kedua-dua perkataan itu bermaksud jalan kepada Yang Maha Esa iaitu cara pengabdian serta wirid dengan menyebut dan memuji, berserah dan bersyukur kepada Yang Maha Pencipta alam ini.

Nama sebenar Allahyarham ialah Haji Mohd. Saman bin Mohammad tetapi nama itu seakan-akan lenyap apabila murid-muridnya atau masyarakat tempatan mengenali beliau sebagai Ustaz Mat Saman Kati sahaja. Nama gelaran tersohor ini secara tidak semena-mena terbit pada sekitar tahun 1960-an sewaktu beliau menjadi mudir Sekolah Agama Nurul Kamaliah di sebuah pekan kecil bernama Kati berdekatan dengan Bandar Diraja, Kuala Kangsar, Perak.

Ustaz Mat Saman Kati dilahirkan pada 15 September 1922 di Kampung Relau Berdiri, Batu Kurau, Taiping. Beliau mula menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Sungai Akar, Batu Kurau sehingga darjah lima. Kemudian, beliau diterima menjadi guru pelatih di sekolah berkenaan. Namun, jawatan tersebut sempat disandang selama tiga bulan, sebaliknya beliau memilih haluan baru untuk terus menimba ilmu agama.

Selanjutnya, Ustaz Mat Saman Kati bersekolah di Madrasah Mariah (kini SMA Idrisiah, Kuala Kangsar yang ketika itu mudirnya ialah Allahyarham Sheikh Abdullah Fahim, seorang ulama terkemuka di Tanah Melayu. Tetapi, beliau cuma belajar selama setahun kerana dikatakan tidak berupaya menyesuaikan diri dengan pelajar-pelajar di sekolah tersebut yang kebanyakannya berlagak seperti anak-anak raja dan orang kaya. Sebaik sahaja berhenti sekolah, Ustaz Mat Saman Kati terus pulang ke kampung tetapi tidak lama kemudiannya, beliau menyambung pelajaran di Madrasah Rushidah, Kampung Jelai, Batu Kurau. Di madrasah ini, Ustaz Mat Saman Kati belajar selama enam tahun (1936-1942) dengan mempelajari ilmu pidato (pengucapan awam), mantik dan mendalami ilmu tasawuf yang kemudiannya merangsang beliau mengamalkan ilmu tarekat Naqsyabandiyah.

Setelah tamat pengajian di Madrasah Rushidah, beliau tidak merantau ke mana-mana sebaliknya belajar bersendirian dan mengajar sambilandi kampungnya di samping bekerja sebagai petani mengerjakan sawah dan bercucuk tanam. Selama tiga tahun beliau melakukan kegiatan tersebut sebelum berpindah ke Sungai Siput Utara pada tahun 1945.

Nasibnya agak baik, di Sungai Siput, Ustaz Mat Saman Kati ditawarkan mengajar di Sekolah Agama Rakyat, Batu Satu, Jalan Lasah. Sewaktu mengajar di sini, beliau melebarkan bakatnya sebagai guru dan pendakwah. Apabila sekolah tersebut diambilalih dan dikendalikan oleh kerajaan, Ustaz Mat Saman Kati sekali gus diserap menjadi guru kerajaan. Tugas utamanya mengajar membaca Al-Quran, fardhu ain dan lain-lain.

Sesungguhnya Ustaz Mat Saman Kati bercita-cita tinggi. Hajatnya untuk menjadi seorang ulama besar seperti Haji Agus Salim dan Imam Bonjol di Sumatera, Indonesia atau setaraf dengan Sheikh Abdullah Fahim dan Sheikh Tahir Jalaludin. Lantaran itu, beliau membulatkan tekad untuk menimba ilmu Islam sebanyak mungkin. Maka, berangkatlah beliau dengan kapal laut ke Makkah pada tahun 1950.

Di Kota Suci Makkah, Ustaz Mat Saman Kati melanjutkan pelajaran di Madrasah Darul Ulum. Di situ, beliau mendalami ilmu tafsir Al-Quran, hadis, sejarah Islam, bahasa Arab dan ilmu-ilmu yang bersangkutan dengan Agama Islam. Semasa di Makkah, beliau sempat juga menerima ajaran daripada mujahid-mujahid Islam yang berjuang menentang penjajah seperti Mohamad Abduh (Mesir) dan Jamaluddin Al-Afghani (Pakistan).

Sekembalinya ke tanah air pada tahun 1952, Ustaz Mat Saman Kati dilantik sebagai mudir Madrasah Nurul Kamaliah, Kati, Kuala Kangsar. Sewaktu di Kati, masyarakat tempatan mula memberi perhatian terhadap syarahannya yang bernas. Masyarakat tertarik kerana cara penyampaian syarahannya yang lantang, terus-terang dan diselang-selikan dengan unsur-unsur kelakar. Menurut beberapa orang muridnya, Allahyarham seorang yang bijak berkelakar, menyindir dan mengecam secara halus dalam setiap syarahan agama dengan tujuan menyeru ke arah kebaikan. Sikapnya yang lekas mesra, ramah serta mempamerkan kematangan berfikir ketika mengupas persoalan agama yang dikemukakan kepadanya, menyebabkan Allahyarham disanjung oleh masyarakat. Faktor inilah yang melenyapkan nama asal beliau sebaliknya timbul pula gelaran Ustaz Mat Saman Kati yang kian hari semakin tersohor.

Namun, resam orang Melayu, pantang melihat kejayaan orang, maka timbullah angkara durjana fitnah memfitnah. Ustaz Mat Saman Kati tidak dapat menepis angkara ini. Beliau difitnah oleh segelintir masyarakat tempatan lantas beliau tidak lagi betah untuk meneruskan kerjayanya sebagai guru agama di Kati. Beliau tegar meninggalkan pekan kecil Kati yang telah memberikannya sebuah nama besar.

Tetapi, perpisahan dengan Kati tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjuang mengembangkan syiar Islam di tanah airnya sendiri. Beliau bertekad melangsungkan perjuangan yang belum langsai. Tekadnya telah diberkati Allah s.w.t. Kegiatan dakwahnya yang sebelum ini hanya tertumpu di Kati kini melebar ke seluruh Negeri Perak Darul Ridzuan terutama kawasan di sebelah utara Semenanjung. Tambahan pula, tugas suci itu mendapat dorongan dan dukungan Jabatan Agama Islam Perak.

Pada tahun 1964, Allahyarham digelar sebagai Tuan Guru Mat Saman Kati berikutan Sultan Perak, Almarhum Sultan Idris Iskandar Shah melantik beliau menjadi guru agama khas di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Jawatan itu disandangnya sehingga tahun 1970. Kemudian, beliau terpilih pula sebagai salah seorang anggota Jawatankuasa Syariah Negeri Perak. Jawatan lantikan Sultan Perak ini berkekalan sehingga akhir hayatnya.

Allahyarham seorang ulama yang rapat dengan istana Perak. Misalnya, dengan perkenan Sultan Perak, Ustaz Mat Saman Kati dilantik menjadi Ahli Dewan Negara Perak (Majlis Penasihat kepada Sultan Perak) mulai tahun 1978 hingga 1980. Pada 1 April 1986, Allahyarham dilantik menjadi Orang Besar 16 bergelar Toh Paduka Indera yang bertanggungjawab sebagai penasihat Sultan Perak mengenai Agama Islam.

Di samping berdakwah, Ustaz Mat Saman Kati giat mengarang kitab dan buku. Antara kitab yang dihasilkan ialah Masailatul Tauhid (seluk-beluk ilmu tauhid), Utusan Ibadat (ilmu amal ibadat mengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah), Ajaran Tasawuf dan Tarekat (ilmu sufi), Al-Ruddun Ala Ahlil Bidaah, Masalah Agama Dari Segi Ibadah, Attariq Ilahi, Addulai-Lu Maarifah, Panduan Individu dan Ghayatul Maksud dan Ilmu Tasawuf serta sebuah buku bercorak memoir; Lawatan Ke Mesir.

Ustaz Mat Saman Kati mempunyai ramai sahabat dari kalangan para alim ulamak sezaman yang di antaranya Allahyarham Tuan Syeikh Daud Malau rakan seperguruan di Mekah, Allahyarham Tuan Guru Haji Ja’afar Al-Hafiz dan Allahyarham Tuan Guru Haji Abdul Hamid dari Pondok Padanng Lallang Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan ramai lagi. Juga tidak sedikit pula meninggalkan anak murid yang istiqamah berjuang meneruskan cita-citanya meninggikan syiar Islam di negeri Perak khasnya dan seluruh negara amnya. Di antaranya yang masih bergiat cergas menjalankan usaha-usaha dakwah di negeri Perak adalah YBhg Dato’ Tuan Guru Hj. Abd Latif Abdul Rahman (Pak Teh Kroh) yang merupakan salah seorang Ahli Jawatankuasa Syariah di Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Perak dan Allahyarham Tuan Guru Haji Sabran bin Haji Asmawi khususnya di dalam bidang Ajaran ilmu Tasawuf dan perjalanan ahli-ahli Tarekat.

Ustaz Mat Saman Kati sempat merasai jasanya dihargai setelah dianugerahkan darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Dato’ dan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) serta dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak Darul Ridzuan bagi tahun 1409H/1988M oleh Kerajaan Perak sebelum berhijrah ke alam baqa pada Selasa 2 Mei 1995 bersamaan 2 Zulhijjah 1415H di Kamunting, Taiping.
Al-Fatihah buat Tuan Guru oleh Zabidin Hj Ismail al-Haj.

Rujukan:

* Mat Saman Kati dan Mokhtar Petah 1997. Ilmu Tasawuf. Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Nusa Sdn. Bhd. *Mohamad Hashim 1987. Haji Mohd Saman Kati: Tokoh Maal Hijrah 1409 dlm Berita Perak, Jan/Feb. hlm. 5 *Jabatan Agama Islam Perak 1983. Sejarah Perak Dalam Kebangkitan Ulamak (Kertas Kerja). Zabidin Haji Ismail 1993. Kebangkitan Ulama Di Perak dlm Al Islam, April hlm. 56-57.
USTAZ ABDUL SAMAD NOH: ULAMA, AHLI POLITIK DAN PENULIS (1917-1984)

Merenung kembali sejarah kebangkitan ulama di Negeri Perak, kita pasti berhadapan dengan rentetan perjuangan yang tidak kunjung padam oleh beberapa orang ulama silam dalam mendaulat dan mengembangkan syiar Islam di tanah airnya sendiri terutama sewaktu sebelum kemerdekaan negara. Mereka sanggup berkorban semata-mata untuk menunaikan tuntutan Allah s.w.t kerana sesungguhnya, sebaik-baik umat disisi-Nya ialah orang yang sanggup berjihad ke jalan Allah.Kebangkitan ulama warasatul anbia’ di Perak melalui tiga peringkat iaitu:-
1. Zaman Pertama (1528-1918) – zaman pengajian pondok
2. Zaman Kedua (1919-1950) – zaman pengajian madrasah
3. Zaman Ketiga (1951-1957) – zaman pengajian sekolah agama rakyat
Justeru itu, kemunculan Haji Abdul Samad Noh sebagai ulama yang terkenal dan disegani di Negeri Perak bermula penghujung Zaman Pengajian Madrasah. Kemunculan beliau seangkatan dengan ulama-ulama lain seperti Tuan Haji Sheikh Idris al-Marbawi, Sheikh Tahir Jalaluddin, Sheikh Junid Tola, Ustaz Abu Bakar Bakir, Tuan Sheikh Mohd. Salleh Haji Mohd. Taib, Sheikh Abdullah Fahim, Sheikh Zubir Haji Ahmad, Prof. Zulkifli Muhammad, Dr Burhanudin al-Helmi dan Tuan Haji Muhammad Arshad Haji Muhammad Salleh.
Mereka inilah suatu masa dahulu telah berjaya melakarkan era kebangkitan ulama di Perak dengan memenuhi setiap kegiatan dakwah dan penyampaian ilmu Islam sebagai ad-din di serata pelusuk negeri terutama memfokuskan kegiatan di madrasah, surau, masjid serta istana selain sekolah-sekolah agama rakyat.

SEMANGAT CINTAKAN ISLAM
Kebangkitan mereka bukan sahaja kerana dorongan semangat cintakan Islam semata-mata tetapi ada unsur galakan yang tinggi daripada Sultan Iskandar Shah - Sultan Perak ke-30 yang dikenali oleh rakyat jelata dengan nama mesra baginda Raja Alang Iskandar.
Bertolak dari keadaan semasa, Haji Abdul Samad Noh menjuruskan kegiatannya dengan mengajar serta bersyarah di majlis-majlis ilmu terutama apabila menerima undangan. Dia mencurahkan segala ilmu yang dipelajari di Kota Suci Makkah kepada setiap mukmin dan mukminat yang bersedia mendengarnya.
Haji Abdul Samad Noh dikenali sebagai ustaz. Dia dilahirkan pada tahun 1917. Anak kelahiran Padang Rengas, Perak ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu dan di Madrasah Yahyawiyah, Kampung Lalang, Padang Rengas dan di Madrasah Masriyah, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Setelah berusia 18 tahun iaitu pada tahun 1935, Ustaz Abdul Samad berpeluang melanjutkan pelajaran di Madrasatul Saulatiyah, Makkah, Arab Saudi. Semasa menuntut di situ, dia mula terbabit dalam gerakan kebangsaan bersama-sama pelajar Indonesia yang giat berjuang menuntut kemerdekaan negara mereka.
Justeru, semangat kebangsaan yang kian menebal itu telah menyeret Ustaz Abdul Samad Noh dalam penubuhan Persatuan Tenaga Makatul Musyarrafah. Pertubuhan berbau politik ini berjaya mengabungkan pelajar-pelajar Tanah Melayu dan Indonesia di Makkah. Matlamat penubuhannya hanyalah untuk memerdekakan Tanah Melayu daripada cengkaman penjajah Inggeris.

JURUBICARA PERJUANGAN ANAK MELAYU NUSANTARA
Kemudiannya persatuan ini menjadi bertambah kukuh apabila ia bergading bahu dengan Parti Indonesia Merdeka dan Persatuan Anak-anak Patani dengan bertindak sebagai jurubicara perjuangan anak Melayu Nusantara yang menuntut di Makkah bagi menentang penjajahan.
Dalam pergerakan dan perjuangan pelajar-pelajar Melayu di Makkah, Abdul Samad Noh dinobatkan sebagai tokoh dari Tanah Melayu yang paling tersohor. Dia berjaya menempatkan dirinya di kalangan pelajar “Jawi” (panggilan Arab terhadap orang Melayu) di Makkah yang amat bengkeng dan baran terhadap penjajah yang sedang bermaharajalela di tanah air sendiri.
Hal ini jelas diperlihatkan apabila Abdul Samad Noh menerusi Persatuan Tenaga Melayu bertindak “ menyuntik semangat” Dato Onn Ja’afar dengan mengutus telegram menyatakan sokongan padu terhadap orang Melayu yang bangkit menentang Malayan Union pada tahun 1946.
Sekembalinya ke Tanah Melayu, dia bergiat cergas dalam Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) melalui pelawaan Dato’ Panglima Gantang Wahab manakala beberapa rakan seperjuangan semasa di Makkah memilih Persatuan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) sebagai wasilah untuk meneruskan perjuangan membebaskan negara daripada penjajahan.
Tetapi malangnya, apabila dia menyertai UMNO dengan sendiri dia tersisih daripada rakan-rakan seperjuangannya yang berada di PKMM. Justeru, dia lantas membawa diri dan bermastautin di Kampung Sungai Bayor dan mengajar di Madrasah Iskandariah, Sungai Bayor, Selama, Perak.
Namun begitu, pada tahun 1949 dia pulang ke Padang Rengas. Dia membulatkan tekad untuk meneruskan pembinaan Madrasah Yahyawiyah di Kampung Pondok, Padang Rengas yang terbengkalai akibat Perang Dunia Kedua. Madrasah terbengkalai itu terletak di suatu kawasan bawah Gunung Pondok. Kelihatan hanya tiang-tiang rusuk dan halang-halang yang terpasang dipanjat dan dibeliti tumbuhan menjalar serta sekitarnya penuh semak samun.
Berbekalkan semangat serta sokongan padu penduduk kampungnya, Ustaz Abdul Samad Noh berjaya membaik-pulih dan membangunkan madrasah itu. Madrasah Yahyawiah sebetulnya dinamakan mengambil sempena nama Orang Besar Perak, Dato’ Yahya yang telah menderma wang untuk pembinaaan rangka bangunan serta mewakafkan tanahnya untuk tapak sekolah berkenaan.
Ustaz Abdul Samad Noh berjaya meletakkan Madrasah Yahyawiyah sebagai sebuah sekolah agama yang terbilang semasa zaman keemasannya. Di bawah kepimpinan beliau, sekolah ini berjaya menggamit pelajar dari Sabah, Sarawak dan Brunei Darussalam selain negeri-negeri di Semenanjung belajar dan pernah menerima sehingga 500 pelajar perempuan dan lelaki setiap tahun.

DEWAN ULAMA UMNO
Pada sekitar tahun 1951, ketika UMNO menubuhkan Dewan Ulama, Ustaz Abdul Samad Noh dilantik sebagai wakil kawasan Padang Rengas. Namun setelah dewan tersebut dibubarkan dan membuka jalan ke arah penubuhan Parti Islam SeTanah Melayu (PAS), Ustaz Abdul Samad Noh meyertai parti itu.
Sepanjang bersama PAS, dia pernah dilantik menjadi Pesuruhjaya PAS Negeri Perak dan Naib Ketua Dewan Ulama PAS Pusat. Pada tahun 1954, Ustaz Abdul Samad Noh bersama-sama Allahyarham Dato’ Haji Hassan Adil berjaya menubuhkan Persatuan Guru-guru Madrasah Agama Rakyat (PEGMA) dan beliau dilantik sebagai presiden pertama pertubuhan tersebut. Apabila PAS berada dalam Barisan Nadional (BN), Ustaz Abdul Samad Noh dilantik sebagai Penasihat Perkembangan Pelajaran Agama Sekolah-sekolah Malaysia selama dua tahun.
Kerjayanya dalam bidang pendidikan Islam tidak hanya menjadi Mudir Madrasah Yahyawiyah Padang Rengas tetapi juga pernah menyumbangkan jasa-baktinya sebagai Ahli Jawatankuasa Zakat Fitrah Negeri Perak (1953-1982) dan sebagai Ahli Jawatankuasa Syariah serta Ahli Majlis Agama Islam Perak. Beliau juga pernah dilantik sebagai Yang Dipertua Persatuan Ulama Perak di samping menjadi Guru Agama Dakwah, Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Negeri Perak serta anggota Adat istiadat Melayu Perak .
Dalam perkembangan syiar Islam serta pembanguan ummah, Ustaz Abdul Samad Noh dikenali sebagai seorang pensyarah yang terkemuka. Dia kerap menerima undangan berceramah sempena majlis-majlis kebesaran Islam terutama di kawasan Utara Perak.

PENGARANG MAPAN
Di samping tersohor sebagai ulama dan tokoh politik, Ustaz Abdul Samad Noh memiliki kepakaran mengarang dan layak digelar sebagai pengarang mapan. Dia berjaya menggunakan kelebihan dan keistimewaan anugerah Allah s.w.t kepadanya dengan menghasilkan beberapa buah karya dalam bentuk buku. Bagaimanapun, tidak diketahui dari manakah dia belajar seni kepengarangan itu.
Namun begitu, menurut seorang bekas muridnya bernama Noor Iskandar, Ustaz Abdul Samad Noh pernah berkata bahawa untuk menjadi seorang pendakwah yang berkesan, alim ulama perlu menguasai pelbagai kepakaran termasuklah menulis selain mengajar dan bersyarah.
Lantaran itu, di Madrasah Yahyawiyah, Ustaz Abdul Samad Noh pernah menganjurkan kursus penulisan dan kewartawanan bagi menyalurkan ilmu persuratan kepada murid-muridnya supaya dapat dimanfaatkan sebagai wasilah penyampaian dakwah yang berkesan menerusi penulisan .
Pandangan ini sebenarnya telah diamalkan oleh Ustaz Abdul Samad Noh sendiri. Buktinya, dia telah berjaya menghasilkan beberapa buah buku yang khususnya bersangkutan Islam. Antaranya ialah Isu Kafir Mengkafir, Fadhilat Ayat Kursi, Gurindam Syair Rasulullah, Bekal Tua Dan Sejarah Khalid Ibn Walid, Sahabat Rasulullah.( karya-karya ini adalah khazanah Negeri Perak yang cukup tinggi nilainya. Semoga ada pihak yang berminat untuk mengumpul dan memelihara karya tersebut supaya tidak pupus ditelan zaman ).

ULAMA PELOPOR BOLA SEPAK
Selain berdakwah dan menulis, Ustaz Abdul Samad Noh memiliki kegemaran yang paling dibenci oleh sebilangan besar alim ulama yang setaraf beliau iaitu permainan bola sepak. Dia amat meminati sukan itu. Setiap ada kelapangan sesudah menunaikan solat Asar dia pasti pergi sama ada Kuala Kangsar atau Pekan Padang Rengas semata-mata untuk menonton bola sepak di padang bandaran.
Barangkali dia ingin mengembalikan nostalgia di peranatauan. Sewaktu dia belajar di Makkah dahulu, dia pernah memperkenalkan sukan bola sepak kepada pemuda-pemuda Arab. Dia membentuk sebuah pasukan bergelar Al-Asadul Jawi (Singa Jawi) yang dianggotai pelajar-pelajar Tanah Melayu dan Indonesia. Dan Al Asadul Jawi kerap mengadakan perlawanan persahabatan dengan pemuda Arab sekaligus menerbitkan tali persahabatan di antara berlainan bangsa tetapi seagama itu.
Berikutan itu, tidak menghairankan dialah ulama pelopor bola sepak di kalangan sekolah agama rakyat di negara ini kerana memperkenalkan sukan tersebut dimainkan di Madrasah Yahyawiyah, Padang Rengas terutama sewaktu zaman pra-merdeka.
Sesungguhnya pada tanggal 1 Oktober 1984, Ustaz Abdul Samad Noh berpulang ke alam baqa kerana menunaikan panggilan Ilahi dengan meninggalkan selaut jasa dan budi yang boleh dipelajari dan diteladani oleh generasi kini. Al-Fatihah untuk Allahyarham – Zabidin Hj Ismail.

Rujukan :
Noor Iskandar. Haji Abdul Samad Noh – Ulama Peminat Bola Sepak (Mingguan Tempo 2 Mei 1993)
Ensaiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu, 1994 (DBP) hlm.55
Sejarah Perak dalam Kebangkitan Ulamak [Kertas Kerja] 1993: Jabatan Agama Islam Perak
Zabidin Haji Ismail Kebangkitan Ulama di Perak dlm. AL ISLAM April. 1993 hlm.56-57