SEJARAH RINGKAS MAJLIS IJTIMAK WAL MUZAKARAH...
Muqadimah...
Setelah kegawatan dan suasana getir Peperangan Dunia Ke 2 agak reda, para ulamak di daerah Bukit Gantang merasakan amat perlu diperkukuhkan kembali kelonggaran pegangan aqidah akibat keadaan tidak menentu yang bukan sahaja menggugat keimanan malah sistem kekeluargaan itu sendiri.
Hasil daripada kesedaran ini wujudlah pertemuan demi pertemuan dikalangan ulamak tempatan yang dipelopori oleh Al-Marhum Tuan Guru Hj Ahmad bin Hj Yunus Sungai Petai bagi merangka satu kegiatan secara jama'i. Maka persetujuan telah dicapai untuk mewujudkan satu program yang dinamakan "Majlis Ijtima' Wal Muzakarah".
Awal Penubuhan Hingga Kini...
Pada peringkat awalnya, majlis Ijtima' dan Muzakarah ini dilancarkan di Masjid Jelutong pada sekitar tahun 1948 yang mana al-Marhum Tuan Guru Haji Ahmad Haji Yunus merupakan pencetus idea dan penggerak utama. Beliau mengeluarkan wang sakunya dahulu untuk perbelanjaan makan minum sepanjang hari majlis tersebut berjalan, kemudian yuran dipungut dari peserta yang tidak menentu bilanganya.Seringkali pendapatan yuran tidak dapat menampung perbelanjaan yang dikeluarkan, namun demikian beliau tetap menanggung segala yang tidak mencukupi itu dengan penuh keikhlasan darinya.
Pada satu ketika di awal tahun lima puluhan Majlis Ijtima' pernah berpindah ke Masjid Changkat Ibol. Kemudian kira-kira pada tahun 1954 berpindah ke Madrasah/ Surau Ahmadiah Sungai Petai. Berikutnya apabila Masjid baru Changkat Ibol siap dibina pada tahun 1963 juga di bawah pimpinan al-Marhum Tuan Guru Haji Ahmad, maka beliau ingin memakmurkan masjid itu. Sekali lagi beliau memindahkanya ke Masjid Changkat Ibol sehingga tahun 1974 iaitu tahun siapnya bangunan baru Surau Ahmadiah sekarang. Maka beliau sekali lagi membawa Majlis Ijtima' itu ke Surau Ahmadiyyah Sungai Petai sehinggalah sekarang. Ini adalah kerana petugas -petugas yang setia boleh dikatakan kesemuanya adalah dari jamaah Sungai Petai, maka lebih mudah segala-galanya dikendalikan di Sungai Petai.
Perjalanan Muzakarah...
Pada mulanya muzakarah berjalan dengan masing-masing tuan guru menperjelaskan kefahaman dalam tajuk-tajuk tertentu yang diasaskan kepada kitab -kitab yang muktabar berbahasa arab atau melayu,seterusnya diikuti dengan perbincangan dan pertukaran pandangan diantara satu sama lain.Boleh dikatakan orang awam tidak terlibat dalam peringkat awal ini.
Kemudian apabila sebahagian tuan-tuan guru telah meninggal dunia maka masing-masing tidak berupaya untuk tidak terlibat secara langsung dalam perbincangan ilmiah yang dianggap tinggi,kecuali beberapa orang sahaja. Dari sini bermulanya berlaku perubahan tujuan asal majlis Ijtima' dan Muzakarah bertukar menjadi kuliah pengajian bulanan kerana yang hadir kebanyaknya untuk belajar dan menambahkan ilmu dengan lebih mendalam. Akhirnya majlis ini terbuka kepada orang awam untuk turut serta. Bagi memenuhi kehendak perubahan ini lalu al-Marhum Tuan Guru Haji Ahmad mencadangkan kuliah ini berjalan dengan membuat penjelasan berdasarkan kitab-kitab turath (warisan) yang muktabar yang ditulis oleh ulama-ulama Melayu Nusantara.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment